21 December, 2008

My Response to Deputy Minister of Higher Education on his comments on University Rakyat

Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron (Berita Minggu -23/11/08) yang menyatakan bahawa:-

1. cadangan Pemuda Parti Gerakan Negeri Kedah untuk menubuhkan Universiti Rakyat ‘adalah tidak masuk akal dan tidak wajar kerana akademik tidak boleh berkait dengan mana-mana parti politik di negara ini’;

2. “kerajaan memerintah sekarang sudah merangkumi kombinasi pelbagai parti politik, justeru, tidak perlu untuk setiap parti politik di negara ini menubuhkan universiti khas”; dan

3. “kebebasan akademik perlu dipelihara dan tidak boleh dikaitkan dengan agenda politik”.


Isu Pertama

Cadangan “Universiti Rakyat” oleh Pemuda Parti Gerakan Negeri Kedah tersebut merupakan suatu cadangan pembentukan universiti percuma bagi semua rakyat Malaysia yang akan ditubuhkan dan ditadbir oleh kerajaan Malaysia dan bukan oleh mana-mana badan politik di negara kita.

Isu Kedua

Seperti yang telah dinyatakan, universiti tersebut akan ditubuh dan ditadbir oleh kerajaan Malaysia bagi semua rakyat Malaysia. Ia bukan suatu universiti khas oleh mana-mana badan politik negara kita.

Isu Ketiga

Pembentukan Universiti Rakyat tidak akan menjejaskan sistem pengajian negara kita yang sedia ada tetapi akan memberi lebih peluang untuk rakyat Malaysia untuk memasuki universiti tempatan “berdasarkan merit”. Rakyat Malaysia tidak wajib untuk memasuki universiti ini tetapi sebagai suatu peluang alternatif untuk mereka. Oleh yang demikian, kebebasan akademik negara kita tidak terjejas.

Seterusnya, pada pandangan saya, agenda utama politik negara kita seharusnya menjaga dan mengutamakan kepentingan semua rakyat Malaysia. Ini termasuk kepentingan semua golongan muda negara kita. Pembentukan “Universiti Rakyat” adalah untuk membantu dan memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk memasuki institut pengajian tinggi tempatan. Ini akan mempertingkatkan pembangunan modal insan negara kita dan juga membantu golongan muda Malaysia untuk bersaing dengan golongan muda negara lain.

Kami berharap setiap Rancangan Malaysia yang akan datang dapat memberi bajet untuk menubuhkan satu Universiti Rakyat. Oleh yang demikian, dalam masa 20 tahun, negara kita akan mempunyai 4 buah Universiti Rakyat untuk semua rakyat Malaysia.

Di dalam suatu Memorandum yang telah dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi pada 6 Oktober, 2008, kami telah memohon agar Kementerian Pengajian Tinggi dapat menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji cadangan pembentukan Universiti Rakyat. Saya percaya bahawa cadangan ini memerlukan kajian yang teliti oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Sekian, terima kasih.