19 April, 2011

KERAJAAN PAS KEDAH HARUS KEKALKAN CUKAI TANAH UUM & JANGAN KELUARKAN CABARAN YANG TIDAK BERNAS


Saya merujuk kepada isu kerajaan PAS negeri Kedah menaikkan cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM) dari RM100,000 setahun kepada RM1.2 juta setahun, iaitu 12 kali ganda.

Menurut Menteri Besar Kedah Dato Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, jumlah yang perlu dibayar oleh UUM sebanyak RM1.2 juta adalah mengikut perjanjian asal. Pembayaran RM100 ribu setahun bagi tahun 2006 hingga 2008 yang dibuat oleh UUM adalah selepas kerajaan negeri meluluskan permohonan rebat kepada mereka. Beliau berkata kenaikan cukai tanah UUM sebenarnya tidak berlaku. Apa yang terjadi ialah penarikan balik rebat cukai tanah selama dua tahun yang diberikan Kerajaan Negeri kepada UUM.

Kerajaan Negeri juga menawarkan diri untuk mengambil alih Universiti Utara Malaysia sekiranya pentadbirannya sekarang sudah tidak mampu mengurus kewangan universiti.

[ Sumber: Warta Kedah 19hb April, 2011 – www.wartakedah.net ]

Pemuda Gerakan Kedah berasa kesal dengan penjelasan yang diberikan oleh kerajaan PAS negeri Kedah yang tidak ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kerajaan negeri Kedah harus memahami bahawa UUM merupakan suatu institut pengajian tinggi yang bertujuan membina modal insan negara dan mengembangkan potensi golongan anak muda kita.

Pada hakikatnya, tindakan kerajaan PAS negeri Kedah membatalkan rebat cukai tanah (yang diberikan dahulu oleh kerajaan Kedah Barisan Nasional) sememangnya telah menaikkan jumlah cukai tanah yang perlu dibayar oleh UUM. Ini akan menjejaskan bajet UUM, yang sepatutnya digunakan untuk membantu pembangunan pelajar-pelajar UUM.

Saya juga berasa kesal bahawa kerajaan PAS negeri Kedah kini mencabar UUM menyerahkan pentadbirannya kepada kerajaan PAS negeri Kedah sekiranya UUM tidak mampu mengurus kewangannya. Kerajaan PAS negeri Kedah seharusnya menyelesaikan masalah yang ditimbulkannya dan bukannya mengeluarkan cabaran yang tidak bernas.

Isu ini dapat diselesaikan sekiranya kerajaan PAS negeri Kedah mengekalkan cukai tanah UUM pada kadar RM100 ribu. Saya berharap kerajaan PAS negeri Kedah akan berprihatin terhadap pembangunan pelajar-pelajar di UUM.