06 March, 2010

KERAJAAN NEGERI PAKATAN LAIN JUGA HARUS TUNAIKAN JANJI ADAKAN PILIHANRAYA KERAJAAN TEMPATAN

Saya merujuk kepada laporan berita bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah meminta Suruhanjaya Pilihanraya untuk mengadakan pilihanraya kerajaan temptan bagi Majlis Tempatan Pulau Pinang dan Majlis Tempatan Seberang Perai.

Sungguhpun permintaan bagi mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan tersebut dibuat 2 tahun selepas pilihanraya umum lepas, ia adalah lebih baik bagi Pakatan Rakyat menunaikan janji mereka tersebut di negeri-negeri Pakatan Rakyat dari tidak ditunaikan langsung.

Dalam perkara ini, saya berharap kerajaan negeri Pakatan Rakyat lain, khususnya Kedah, Kelantan dan Selangor akan mengikuti langkah rakan mereka di Pulau Pinang dan menyerahkan permintaan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan di negeri mereka.

Pakatan Rakyat tidak mempunyai apa-apa sebab yang munasabah untuk hanya menunaikan janji tersebut di negeri Pulau Pinang. Di dalam pilihanraya umum lepas, Pakatan Rakyat tidak pernah menyatakan bahawa janji mereka untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan hanya akan diadakan di Pulau Pinang.

Sekiranya kerajaan negeri Pakatan Rakyat lain (iaitu Kedah, Kelantan dan Selangor) tidak berhasrat untuk menghantar permintaan kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan di negeri PR masing-masing, maka ia adalah jelas bahawa Pakatan Rakyat tidak mempunyai dasar pentadbiran yang sama bagi negeri-negeri di bawah mereka. Justeru, Pakatan Rakyat perlu menyediakan manifesto yang berasingan bagi setiap negeri yang mereka akan bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang dan menyatakan dengan jelas di negeri mana janji-janji mereka akan ditunaikan.