19 July, 2012

Tak Salah Kerajaan Kedah Beli Saham Felda


Saya merujuk kepada isu pembelian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (“FGVH”) oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah memohon untuk 1 juta saham FGVH dan berjaya membeli 500 ribu saham tersebut pada harga RM4.55 sesaham.

Saham FGVH kini telah naik hampir RM5.40 sesaham iaitu kenaikan hampir 20%.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat telah mengkritik penyenaraian Felda di dalam Bursa Malaysia.

Dalam hal ini, Pemimpin Pakatan Rakyat juga telah mengkritik pembelian saham FGVH oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Pada hari ini, Menteri Besar Kedah Dato Seri Azizan Abdul Razak berkata PKNK akan diarahkan untuk menjual saham FGVH yang dimilikinya.

Pemuda Gerakan Kedah berpendapat bahawa pembelian saham FGVH oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah tidak salah.

Dalam semangat 1Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah juga berhak untuk kongsi pencapaian Felda dan menikmati kejayaannya di bawah kerajaan Barisan Nasional.

Pembelian saham FGVH oleh PKNK (yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kedah Dato Seri Azizan Abdul Razak) telah berjaya meraih keuntungan hampir 20% sejak penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada 28 Jun lepas.

Kerajaan Negeri Kedah tidak perlu terikut-ikut dengan hasutan Pakatan Rakyat terhadap Felda.

Keputusan Kerajaan Negeri Kedah harus berdasarkan kepentingan rakyat dan bukannya tunduk kepada desakan politik yang tidak logik dari Pakatan Rakyat.