18 July, 2010

KECUALIKAN CUKAI TANAH & CUKAI PINTU DI NEGERI PAKATAN RAKYAT DAHULU

Saya merujuk kepada kenyataan oleh AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa bahawa “kalau Pakatan Rakyat dapat ambil alih (kerajaan) Pusat lepas PRU13, cukai pendapatan akan dimansuhkan sepenggal (5 tahun) atau sekurang-kurangnya kakitangan kerajaan tak perlu bayar sepenggal”.

Menurut beliau, kepemimpinan Pakatan Rakyat mempunyai formula tersendiri untuk urus tadbir kewangan negara secara adil, dinamik dan tidak membebankan rakyat.

Sumber: Harakah Daily – 17hb Julai, 2010 http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27659:hapus-cukai-5-tahun-jika-pakatan-jadi-kerajaan&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

Saya berasa kesal bahawa Pakatan Rakyat perlu menggunakan taktik membuat tawaran sedemikian bagi mengumpan undi rakyat Malaysia pada pilihanraya umum yang akan datang.

Sekiranya kepimpinan Pakatan Rakyat mempunyai formula canggih yang dapat mengurus kewangan dengan adil, dinamik dan tidak membebankan rakyat, maka saya mencabar Pakatan Rakyat dengan serta merta memberi pengecualian bayaran Cukai Tanah dan Cukai Pintu bagi tempoh dua (2) tahun mulai tahun 2010 di semua negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat , iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Ia adalah di bawah bidang kuasa Pakatan Rakyat untuk mengecualikan bayaran Cukai Tanah dan Cukai Pintu di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat tidak perlu tunggu untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan bagi membantu rakyat Malaysia. Keikhlasan Pakatan Rakyat untuk membantu rakyat Malaysia boleh dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Sekiranya Pakatan Rakyat tidak dapat menyahut cabaran ini dalam masa satu (1) minggu, maka keikhlasan dan keupayaan Pakatan Rakyat dalam menunaikan janji tawaran tersebut bakal dipersoalkan.