Saya merujuk kepada penubuhan pasukan petugas peringkat tinggi yang diketuai oleh Tan Sri Mohd Sidek bin Haji Hassan, Ketua Setiausaha Negara bagi menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008. Pasukan tersebut yang ditubuhkan atas arahan Dato Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia, juga diamanahkan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.
Saya menyokong tindakan kerajaan untuk menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi tersebut bagi menjamin ketelusan dalam pentadbiran kerajaan, samada di peringkat kerajaan pusat ataupun di peringkat negeri.
Justeru, saya berharap agar kerajaan, di bawah kepimpinan Dato Seri Najib Tun Razak, dapat mempertimbangkan supaya pasukan petugas peringkat tinggi tersebut, di bawah Ketua Setiausaha Negara:-
1. akan dijadikan suatu pasukan petugas peringkat tinggi TETAP yang akan meneliti tiap-tiap laporan tahunan Ketua Audit Negara mulai tahun 2008; dan
2. akan menyiarkan suatu laporan tahunan berkenaan siasatan dan tindakan yang telah diambilnya ke atas laporan Ketua Audit Negara. Laporan siasatan tahunan ini diharap akan dibentangkan di sidang Parlimen bagi setiap tahun yang berkenaan.
Cadangan ini adalah bertujuan bagi memastikan ketelusan dalam pentadbiran negara, (di peringkat kerajaan pusat dan juga negeri) dan tindakan sewajarnya diambil ke atas semua penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang dirujuk di dalam mana-mana laporan Ketua Audit Negara, dan bukannya hanya bagi laporan 2008. Ini merupakan suatu tindakan bagi ketelusan pentadbiran jangkamasa panjang.