21 August, 2010

HUKUM HUDUD HANYA IMPIAN PERIBADI PAS

Saya merujuk kepada cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memperkenalkan undang-undang hudud di negara kita. Menurut beliau, undang-undang tersebut didakwa akan dapat mengatasi gejala jenayah dan sosial seperti kes membuang bayi yang semakin meningkat.

PAS harus sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang jenayah telah diperuntukan di bawah Kanun Keseksaan yang sedia ada.

Negara kita, yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama, telah kian lama menolak perlaksanaan hukum hudud. Antara hukum hudud adalah hukuman potong tangan bagi pencuri dan rejam bagi penzina.

Cadangan undang-undang hudud tersebut juga telah ditolak oleh DAP, rakan seperjuangan PAS di dalam Pakatan Rakyat.

Menurut kenyataan Y.B. Karpal Singh, pengerusi DAP dua hari lepas, undang-undang hudud bukan jawapan kepada gejala jenayah dan social. Malah beliau juga berkata, “partinya DAP tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini.”

Ini jelas menunjukkan bahawa cadangan undang-undang hudud oleh Mursyidul Am PAS tersebut adalah hanya impian peribadinya.

Saya berharap PAS tidak akan lagi mengambil kesempatan untuk mencadangkan undang-undang hudud atas alasan kenaikan gejala jenayah dan sosial.

Ia adalah lebih baik bagi PAS mengkaji sebab-sebab kenaikan gejala jenayah dan sosial dan memberi cadangan rasional untuk meminda mana-mana peruntukkan di dalam Kanun Keseksaan yang sedia ada.

PAS harus menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan yang sedia ada.

PAS harus sedar bahawa hukum hudud bukan impian semua rakyat Malaysia, yang berbilang kaum dan agama.