31 May, 2011

JANGAN SALAHKAN KAKITANGAN AWAM NEGERI KEDAH *** PAKATAN RAKYAT HARUS BERTANGGUNGJAWAB ATAS DASAR SENDIRI ***

Saya merujuk kepada keputusan 17 Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) untuk tidak menghadiri apa-apa mesyuarat MPSPK sehingga Yang Dipertua MPSPK ditukar.

Isu ini adalah berikutan kes gerai-gerai di sepanjang Jalan Cinta Sayang yang dirobohkan oleh MPSPK baru-baru ini. Ahli-ahli Majlis MPSPK tersebut juga telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Kedah semalam.

MB Kedah berkata tindakan meroboh gerai tersebut perlu melalui perbincangan dan mesti ada sifat kemanusiaan, walaupun penubuhan gerai tersebut didapati menyalahi undang-undang.

[ Sumber: WartaKedah.net – 31 Mei, 2011 ]

Pemuda Gerakan Kedah berasa kesal dengan insiden ini di mana kakitangan awam negeri secara tidak langsung disalahkan apabila berlaku masalah akibat polisi kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

MPSPK adalah di bawah pengurusan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah. Keputusan yang diambil oleh MPSPK adalah sebenarnya keputusan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah.

Adalah tidak wajar Pakatan Rakyat memberi tanggapan kepada rakyat Kedah seolah-olah MPSPK bukan di bawah pengurusan mereka.

Tindakan kakitangan awam negeri Kedah adalah mengikut polisi dan dasar Pakatan Rakyat negeri Kedah. Pakatan Rakyat harus bertanggungjawab ke atas polisi dan dasar yang ditetapkan mereka.

Oleh itu, Pakatan Rakyat tidak harus menjadikan kakitangan awam negeri, termasuk MPSPK sebagai mangsa apabila berlaku apa-apa masalah dalam pentadbiran negeri Pakatan Rakyat.

Pada hakikatnya, masalah yang dihadapi oleh rakyat Kedah adalah berpunca daripada dasar-dasar Pakatan Rakyat yang tidak berprihatin terhadap nasib rakyat Kedah. Dasar dan polisi sedemikian harus ditukar dan bukannya kakitangan awam yang hanya menjalankan tugas.

Saya berharap agar Menteri Besar Kedah memastikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kedah bertanggungjawab ke atas kes gerai-gerai yang dirobohkan di Sungai Petani oleh MPSPK.

Saya mencadangkan agar kerajaan negeri Kedah:-

1. membina semula gerai-gerai tersebut di suatu tapak yang dipersetujui oleh semua pemilik gerai-gerai tersebut; dan

2. tidak lagi menyalahkan kakitangan awam negeri Kedah yang hanya menjalankan tugas mengikut dasar dan polisi Pakatan Rakyat.