05 May, 2011

PAKATAN RAKYAT PUSAT DIGESA CAMPUR TANGAN UNTUK SELESAIKAN ISU CUKAI TANAH UUM AKIBAT TINDAKAN MELAMPAU NEGERI PAS KEDAH

Saya merujuk kepada isu cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah dinaikkan dari RM100,000 setahun kepada RM1.7 juta setahun, iaitu 17 kali ganda. Ini adalah berikutan kerajaan PAS Kedah enggan menyambung rebat cukai tanah kepada UUM.

Semalam, Menteri Besar Kedah Dato Seri Ustaz Azizan Abdul Razak turut berkata bahawa tindakan undang-undang bakal diambil terhadap UUM sekira mereka enggan membayar cukai tanah pada kadar baru tersebut dalam tempoh yang diberikan. Ini termasuk denda sebanyak RM90,000 atau tanah disita oleh kerajaan negeri.
[ Sumber: The Malaysian Insider 5th May, 2011 ]

Saya berasa kesal dengan kenyataan baru Menteri Besar Kedah yang dilihat tidak ikhlas dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh UUM, iaitu salah satu institut pengajian tinggi di negeri Kedah.

Kerajaan PAS Kedah harus memahami bahawa UUM adalah suatu institut penting di negeri Kedah yang membina modal insan negara dan bukannya suatu tempat untuk mengaut keuntungan.

Kenyataan Menteri Besar tersebut merupakan suatu desakan yang melampau dan seakan ugutan terhadap suatu institut pengajian tinggi UUM.

Kerajaan PAS Kedah seharusnya menyelesaikan masalah yang ditimbulkannya dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang melampau.

Pada hakikatnya, tindakan kerajaan PAS negeri Kedah yang enggan melanjutkan rebat cukai tanah (diberikan dahulu oleh kerajaan Kedah Barisan Nasional) sememangnya telah menaikkan jumlah cukai tanah yang perlu dibayar oleh UUM sebanyak 17 kali ganda. Ini bakal menjejaskan bajet UUM, yang sepatutnya digunakan untuk membantu pembangunan pelajar-pelajar UUM

Memandangkan kerajaan PAS negeri Kedah tidak ikhlas dalam menyelesaikan isu cukai tanah UUM tersebut, saya berharap kepimpinan pusat Pakatan Rakyat membuat pendirian mereka terhadap isu ini bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi UUM akibat tindakan kerajaan PAS Kedah.

Pemimpin-pemimpin pusat Pakatan Rakyat, seperti Dato Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Dato Seri Abdul Hadi Awang tidak boleh selalu berdiam diri apabila rakyat di negeri Pakatan Rakyat Kedah menghadapi masalah. Justeru, Pakatan Rakyat pusat digesa campur tangan untuk menyelesaikan isu cukai tanah UUM akibat tindakan kerajaan PAS negeri Kedah.