03 September, 2011

PINDA PERLEMBAGAAN NEGERI KEDAH BAGI TIMBALAN MENTERI BESAR

Saya merujuk kepada cadangan penukaran Menteri Besar Kedah Dato Seri Azizan Abdul Razak seperti yang dilaporkan dalam media baru-baru ini. Ini adalah berikutan masalah kesihatannya selepas diserang sakit jantung bulan lepas.

Dalam hal ini, kita harus memahami bahawa tiada pihak yang akan dapat meramal apa-apa masalah kesihatan ataupun apa-apa malapetaka lain yang mungkin terjadi ke atas mana-mana Menteri Besar Kedah, samada dari pihak Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional.

Tetapi, ini tidak bermakna kerajaan negeri tidak perlu mengambil apa-apa langkah untuk mengelak ketidakpastian sedemikian.

Dalam situasi di mana Menteri Besar Kedah tidak dapat berfungsi bagi suatu tempoh panjang, adalah lebih baik sekiranya kerajaan negeri mempunyai seorang Timbalan Menteri Besar bagi mengambil alih tugas beliau dan memastikan pentadbiran negeri stabil dan tidak terjejas.

Walau bagaimanapun, Perlembagaan negeri Kedah tidak mempunyai apa-apa peruntukan bagi perlantikan jawatan “Timbalan Menteri Besar” sejak dahulu lagi.

Sebuah kerajaan negeri yang stabil harus mempunyai peruntukan untuk apa-apa kejadian yang mungkin menimpa pemimpin tertingginya.

Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah mengkaji untuk menwujudkan peruntukan dalam Perlembagaan negeri Kedah untuk jawatan Timbalan Menteri Besar Kedah, sekiranya diperkenan oleh Sultan negeri Kedah.

Sekiranya Menteri Besar Kedah tidak dapat berfungsi dalam tempoh 30 hari, maka Timbalan Menteri Besar Kedah tersebut akan mengambil alih fungsi beliau dalam pentadbiran negeri.


Saya berharap Pakatan Rakyat negeri Kedah akan meneliti cadangan ini bagi kestabilan negeri pada masa hadapan dan bagi kebaikan rakyat negeri Kedah.