29 September, 2011

TAHNIAH KEPADA PAKATAN RAKYAT UNTUK TOLAK HUDUD

Saya merujuk kepada mesyuarat Pakatan Rakyat semalam yang memutuskan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan melaksanakan hukum Hudud di negara kita, termasuk negeri Kelantan kerana dibantah oleh pelbagai pihak.

1. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pakatan Rakyat atas keputusan bernas mereka untuk tidak melaksanakan hukum Hudud di negara kita, termasuk negeri Kelantan.

2. Undang-undang sedia ada di negara kita sudah lama diguna pakai dan tidak perlu diubah secara drastik. Tambahan lagi, Perlembagaan Malaysia tidak mempunyai peruntukan untuk melaksanakan undang-undang Hudud.

3. Keputusan Pakatan Rakyat ini juga jelas menunjukkan bahawa hukum Hudud ditolak oleh majoriti dalam kepimpinan Pakatan Rakyat.

4. Perlaksanaan hukum Hudud di Malaysia hanya merupakan impian peribadi segelintir pemimpin di dalam PAS.

5. PAS harus sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Adalah tidak wajar PAS memaksa pandangan mereka ke atas semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

6. Saya berharap Pakatan Rakyat akan memastikan PAS tidak lagi mengamalkan atau mencadangkan apa-apa dasar dan polisi yang tidak menghormati Perlembagaan Malaysia di dalam negara kita.