16 January, 2013

Isu Garis Panduan Hiburan Terbuka Kedah: Kerajaan Pakatan Kedah perlu membuat ketetapan akhir dan bukannya keputusan sementara yang tidak jelas



Dipetik dari Sidang Media Pemuda Gerakan Kedah pada pagi ini

Latar Belakang:-

(i)         Kerajaan Kedah telah membuat garis panduan baru bagi persembahan hiburan terbuka dalam negeri Kedah (“Garis Panduan tersebut”). Tidak diketahui sejak bila garis panduan tersebut diluluskan kerajaan negeri Kedah.


(ii)       Garis Panduan tersebut perlu dipatuhi untuk semua persembahan hiburan terbuka di negeri Kedah dan bukan sahaja bagi persembahan Tahun Baru Cina.


(iii)       Pada 15 Januari, 2013, Menteri Besar Kedah menegaskan bahawa program sambutan Tahun Baru Cina boleh diteruskan tertakluk kepada:-

“setiap peserta yang terlibat dengan persembahan di pentas pada program tersebut sama ada lelaki atau perempuan (kanak-kanak dan dewasa) mestilah berpakaian dengan sopan atau tidak menjolok mata”.


(iv)       Kerajaan Negeri Kedah juga berkata kelonggaran akan diberi bagi sambutan perayaan keagamaan dan budaya bagi kaum Cina, India dan Siam.


Isu:-

1.         Pihak Pemuda Gerakan Kedah tiada bantahan kalau kerajaan Negeri Kedah ingin menetapkan garis panduan untuk pakaian sopan bagi hiburan terbuka.


2.     Tetapi kenapa Kerajaan Negeri Kedah masih enggan membatalkan Garis Panduan tersebut khususnya:-

(a)        larangan penyanyi wanita dewasa membuat persembahan umum. Hanya penyanyi lelaki atau penyanyi wanita di peringkat umur persekolahan sahaja dibenarkan.

(b)        penyanyi hanya dibenarkan menyumbang nyanyian dengan iringan muzik minus one (ertinya “live band” akan dilarang).

(c)        penyanyi hanya boleh mempersembahkan lagu-lagu yang berunsurkan “ketuhanan” ataupun nasihat.


3.         Larangan ini terpakai kepada orang bukan Islam di negeri Kedah dan adalah tidak wajar.


4.         Kenyataan Menteri Besar Kedah hanya menyatakan persembahan bagi Sambutan Tahun Baru Cina dibenarkan tertakluk kepada pemakaian sopan. Tetapi kenyataan beliau tidak secara khusus membatalkan semua syarat-syarat lain dalam Garis Panduan tersebut.


5.        Pemuda Gerakan Kedah menggesa agar Menteri Besar Kedah memberi kenyataan yang jelas untuk:-

(a)        membatalkan semua Garis Panduan tersebut bagi aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh orang bukan Islam (kecuali garis panduan untuk pemakaian sopan yang tidak menjolok mata); dan

(b)        memberi jaminan kepada rakyat Kedah bahawa polisi-polisi sedemikian tidak akan lagi diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Kedah.


6.      Garis Panduan tersebut mencabul hak asasi rakyat Kedah dan satu lagi usaha PAS Kedah untuk memaksa polisi mereka ke atas pihak lain.


7.       Menteri Besar Kedah harus selesaikan isu ini dengan serta-merta bagi semua orang di Kedah dan bukan sahaja untuk Tahun Baru Cina.


8.       Kerajaan Pakatan Kedah perlu membuat ketetapan akhir dan bukannya keputusan sementara yang tidak jelas (“there must be finality on the issue, not just temporary vague decision”).