02 March, 2011

Beri Alternatif Kepada Rakyat Kedah Untuk Bayar Komisyen Pejabat Pos - **** Kekalkan Perkhidmatan Pembayaran Bil Air Di Pejabat Pos ****

Saya merujuk kepada keputusan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah untuk menamatkan perkhidmatan pembayaran bil air di Pejabat Pos mulai 1 Mac, 2011.

Menurut Syarikat Air Darul Aman (SADA), pemberhentian perkhidmatan itu terpaksa dibuat kerana pembayaran komisyen kepada Pejabat Pos merugikan SADA. Kadar komisyen yang dikenakan oleh Pejabat Pos dahulunya adalah 70 sen satu bil dan ia akan dinaikkan ke 90 sen satu bil mulai 1 Mac, 2011.

Sebelum ini, semua komisyen tersebut dibayar oleh SADA dan dianggarkan hampir RM100,000 sebulan. SADA turut berkata ia akan membuka lebih banyak kaunter pembayaran di tempat-tempat tertentu untuk mengatasi masalah pembayaran.

[ Sumber: WartaKedah.net 1 Mac, 2011 ]

Pemuda Gerakan Kedah berasa kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah untuk menamatkan perkhidmatan pembayaran bil air di Pejabat Pos. Tindakan ini bakal akan menyusahkan lebih daripda 100,000 rakyat Kedah yang sedang menggunakan perkhidmatan pembayaran di Pejabat Pos, terutamanya mereka yang berada di luar bandar.

Pakatan Rakyat tidak harus terlalu mementingkan keuntungan kepada SADA sehingga kepentingan rakyat Kedah diketepikan. Baru-baru ini, SADA juga telah menaikkan tariff air sehingga 100%, terutamanya ke atas pengguna air kecil di Kedah (iaitu golongan yang menggunakan kurang dari 8 m3).

Sekiranya Pakatan Rakyat tidak ingin menanggung komisyen Pejabat Pos, ia tidak seharusnya bermakna khidmat pembayaran bil air di Pejabat Pos perlu ditamatkan. Sebaliknya, Pakatan Rakyat harus memberi alternatif kepada rakyat untuk membayar komisyen 90 sen tersebut di Pejabat Pos bagi rakyat Kedah yang masih ingin menggunakan perkhidmatan tersebut di Pejabat Pos.

Pejabat Pos juga merupakan tempat pembayaran bagi pelbagai kemudahan lagi dan adalah suatu “One Stop Center” bagi rakyat yang memilih untuk tidak mengunjungi terlalu banyak tempat untuk membayar bil-bil tertentu. Pakatan Rakyat tidak harus menamatkan perkhidmatan pembayaran bil air yang telah dirancang dahulu oleh Barisan Nasional bagi kesenangan rakyat Kedah.

Oleh itu, saya berharap kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah akan mengkaji keputusan mereka untuk membatalkan khidmat pembayaran bil air di Pejabat Pos dan memberi alternatif kepada rakyat untuk membayar komisyen 90 sen tersebut bagi rakyat Kedah yang masih ingin menggunakan perkhidmatan tersebut di Pejabat Pos.