28 March, 2011

Pakatan Rakyat Gagal Laksana Tender Terbuka Bagi SEMUA Projek Negeri Pakatan *** Dasar Bersama Pakatan Rakyat & Buku Jingga Dipertikaikan ***

Saya merujuk kepada keputusan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang untuk memberi kontrak RM8.5 juta bagi projek WiFi Pulau Pinang tanpa proses Tender Terbuka.

Pada pilihanraya umum lepas, Pakatan Rakyat (dahulunya dikenali sebagai Barisan Alternatif) telah berjanji akan melaksanakan Tender Terbuka bagi projek kerajaan.

Ini juga jelas termaktub dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diperkenalkan mereka pada akhir tahun 2009.

Baru-baru ini, Pakatan Rakyat juga telah menyatakan di dalam “Buku Jingga” bahawa Pakatan Rakyat akan meneruskan sistem Tender Terbuka.

Tetapi di sebalik janji-janji tersebut, Pakatan Rakyat telah gagal untuk memastikan Tender Terbuka diadakan bagi semua projek negeri-negeri Pakatan Rakyat.


Pemberian kontrak RM8.5 juta bagi projek WiFi Pulau Pinang tanpa Tender Terbuka adalah bukti jelas bahawa Pakatan Rakyat tidak mengamalkan Tender Terbuka bagi SEMUA projek negeri-negeri Pakatan Rakyat. Ini bakal menjadi asas (“precedent”) bagi Pakatan Rakyat untuk tidak melaksanakan Tender Terbuka bagi projek negeri-negeri Pakatan Rakyat lain (Kedah, Selangor dan Kelantan).

Insiden ini juga merupakan suatu lagi contoh Pakatan Rakyat gagal untuk mengamalkan apa yang dijanjikan mereka kepada rakyat apabila diberi peluang di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Justeru, saya menyeru agar ketua umum Pakatan Rakyat Dato Seri Anwar Ibrahim memperjelaskan kepada rakyat Malaysia:-

1. kenapa sistem Tender Terbuka tidak diadakan untuk SEMUA projek negeri Pakatan Rakyat?

2. apakah tindakan yang akan diambil Pakatan Rakyat untuk memastikan sistem Tender Terbuka diadakan untuk SEMUA projek negeri-negeri Pakatan Rakyat?

Selaku ketua umum Pakatan Rakyat, Dato Seri Anwar Ibrahim tidak harus lagi menutup mata apabila jelas negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak memperdulikan janji-janji yang diberi Pakatan Rakyat kepada rakyat dalam “Buku Jingga” dan “Dasar Bersama Pakatan Rakyat”.