01 March, 2011

Pakatan Rakyat Gagal Umum Hasil Kempen 1 Juta Tandatangan - ** Jelas Rakyat Berminat Pencapaian & Bukannya Janji Politik **

Saya merujuk kepada kempen Pakatan Rakyat untuk mengumpul satu juta tandatangan untuk Akta Pemulihan Demokrasi yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam konvensyen Pakatan Rakyat keduanya di Kepala Batas pada akhir bulan Disember, 2010, Pakatan Rakyat telah mengumumkan bahawa kempen tersebut akan diadakan pada 1 Januari sehingga akhir Februari tahun ini untuk mengumpul tandatangan tersebut.

Antara objektif kempen tersebut adalah untuk:-

1. mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan; dan

2. mewujudkan kebebasan akhbar.

Sehingga hari ini, Pakatan Rakyat masih gagal untuk mengumumkan hasil kempen mereka.

Ini jelas menunjukkan bahawa majoriti rakyat tidak lagi berminat dengan janji-janji berunsur politik. Sebaliknya, rakyat kini lebih memberi tumpuan kepada pencapaian sebenar yang dilaksanakan oleh parti politik yang telah memerintah negara ataupun negeri.


Sejak pilihanraya umum 2008, Pakatan Rakyat masih tidak menunaikan janji mereka untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan sungguhpun mereka telah memerintah 4 buah negeri di Malaysia hampir 3 tahun.

Sebaliknya, Pakatan Rakyat juga telah menyekat kebebasan media semasa sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada 2010. Baru-baru ini, kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang juga telah bercadang untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh salah satu Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang mereka.

Oleh itu, saya menyeru agar Pakatan Rakyat:-

(a) mengambil langkah sewajarnya untuk menunaikan semua janji-janji mereka kepada rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat, terutamanya yang melibatkan isu DEMOKRASI, KEBEBASAN MEDIA dan KEBEBASAN RAKYAT UNTUK BERSUARA; dan

(b) tidak lagi membuat apa-apa janji baru kepada rakyat sehingga semua janji-janji lama mereka ditunaikan.