15 May, 2010

AHLI BUKAN ISLAM HARUS LAYAK JADI PRESIDEN PAS, SEKIRANYA PAS IKHLAS JADI PARTI BERBILANG KAUM


Saya merujuk kepada pengumuman PAS untuk menaik taraf Kelab Penyokong PAS dan melancarkannya sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS bagi menggambarkan PAS sebagai parti berbilang kaum.

Menurut laporan media hari ini (Berita Harian: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PastubuhsayapbarudianggotaibukanIslam/Article), Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa, berkata pelancaran itu pada 23 Mei ini akan menjadi peralihan besar kepada Pas kerana membenarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (yang dianggotai bukan Islam) bergerak bebas sebagai sayap parti seperti mana Dewan Pemuda, Ulama dan Muslimat.

Ahli-ahli DHPP juga boleh hadir semua mesyuarat parti pada semua peringkat serta boleh mengemukakan nama calon bukan Islam bertanding pilihan raya atas lambang Pas.

Tetapi, pada hakikatnya, penukaran Kelab Penyokong PAS kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS masih memberi keahlian “Kelas Kedua” di dalam PAS bagi kaum bukan Islam.

Sekiranya PAS ikhlas menjadi parti berbilang kaum, maka PAS harus memberi “keahlian penuh” PAS kepada kaum bukan Islam.

Ini bermakna tidak boleh wujud apa-apa diskriminasi terhadap hak-hak ahli bukan Islam di dalam PAS.

Ahli-ahli bukan Islam juga harus layak memegang mana-mana ahli jawatankuasa PAS, termasuk Presiden PAS.

Sekiranya tidak, pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS hanyalah suatu proses penukaran nama Kelab Penyokong PAS dan ahli-ahlinya masih dipinggirkan melalui diskriminasi agama.

Slogan “PAS Untuk Semua” hanya akan terus berbentuk rhetorik.