14 May, 2010

DAP & PKR TERUS DIBULI OLEH PAS KEDAH



Saya merujuk kepada suatu laporan media di mana PAS Kedah akan memanggil Adun PKR dan DAP Kedah untuk memberi penjelasan dalam satu majlis ceramah anjuran PAS di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, pada 22 Mei depan berhubung dakwaan yang tersebar luar kononnya mereka akan melompat meninggalkan Pakatan Rakyat Kedah.

Saya amat terperanjat dengan tindakan PAS Kedah secara terbuka memanggil Adun PKR dan DAP Kedah memberi penjelasan tersebut di ceramah PAS di Kompleks PAS Kedah di hadapan ahli-ahli PAS.

Ia adalah berbeza sekiranya penjelasan tersebut dibuat di ceramah anjuran Pakatan Rakyat ataupun suatu mesyuarat tertutup.

Tindakan mengarah Adun PKR dan DAP memberi penjelasan terbuka di ceramah anjuran PAS adalah suatu tindakan menunjukkan dominasi PAS dalam politiks Pakatan Rakyat di negeri Kedah.

Ini juga merupakan satu lagi contoh DAP dan PKR dibuli oleh PAS di negeri Kedah.

Sekiranya wakil rakyat DAP dan PKR di Kedah ingin meninggalkan pentadbiran PAS negeri Kedah, PAS seharusnyat bertanya, kenapa wakil rakyat DAP dan PKR ingin berbuat demikian.

Pada bulan Julai 2009, wakil rakyat DAP telahpun menyatakan hasrat untuk meninggalkan pentadbiran PAS negeri Kedah apabila pusat penyembelihan babi dirobohkan di Alor Star, Kedah. Sehingga kini, pusat penyembelihan babi ganti yang dijanji oleh pentadbiran PAS negeri Kedah masih belum didirikan.