18 May, 2010

BATALKAN SLOGAN "PAS UNTUK SEMUA" UNTUK ELAK KEKELIRUAN


Saya merujuk kepada kenyataan media Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub semalam.

Di dalam suatu laporan media (http://www.malaysiakini.com/news/132009), Salahudin Ayub telah dilaporkan berkata:-

1. ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS hanya menjadi ahli kepada dewan tersebut dan bukannya ahli PAS kerana antara syarat utama sebelum seseorang boleh menjadi ahli PAS ialah mereka harus beragama Islam; dan

2. “Ketua Pemuda Gerakan Kedah perlu sabarlah. Kalau dia nak pun, dia perlu masuk Dewan Himpunan dulu bersama kita, barulah dia boleh bercakap apa yang akan berlaku pada masa depan.”

Sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa PAS masih mengamalkan dasar diskriminasi terhadap golongan bukan Islam di dalam partinya.

Kenyataan Salahudin Ayub jelas menunjukkan bahawa PAS masih belum bersedia memberi keahlian penuh kepada golongan bukan Islam.

Pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS tidak akan memberi keahlian penuh PAS kepada orang bukan Islam.

Oleh yang demikian, sebagai suatu parti politik yang bertanggungjawab, PAS harus dengan serta merta membatalkan penggunaan slogan “PAS Untuk Semua” (“PAS FOR ALL”) bagi mengelakkan sebarang kekeliruan oleh rakyat Malaysia terhadap idealogi yang diamalkan oleh PAS.

Akhir sekali, saya berasa tiada keperluan untuk saya, selaku seorang bukan Islam, memasuki Dewan Himpunan Penyokong PAS memandangkan PAS belum bersedia menerima keahlian tanpa mengira agama rakyat Malaysia. Perkembangan terkini jua jelas menunjukkan ahli-ahli Kelab Penyokong PAS, yang terdiri dari golongan bukan Islam, akan terus terpinggir dengan keahlian “kelas kedua”.