10 April, 2012

BERSIH 3 DISERU HIMPUN SECARA AMAN DALAM STADIUM

Saya merujuk kepada demostrasi yang akan dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (“Bersih”) pada 28 April, 2012 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Perhimpunan tersebut juga dikenali sebagai Bersih 3.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Hishammuddin Hussein telah mengumumkan perhimpunan Bersih 3 tersebut akan dibenarkan tertakluk kepada pematuhan Akta Perhimpunan Aman 2011.

Pemuda Gerakan Kedah mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk membenarkan perhimpunan Bersih 3 atas semangat Akta Perhimpunan Aman 2011.

Di dalam sistem demokratik negara kita, Bersih berhak untuk menyuarakan pandangannya dalam apa-apa isu yang ingin diperjuangkan mereka.

Tetapi untuk mengelakkan ketenteraman awam dan kehidupan rakyat terjejas, adalah lebih baik sekiranya Bersih mengadakan perhimpunan Bersih 3 di tempat yang lebih sesuai.

Seperti yang telah dilihat pada tahun sebelumnya, demostrasi sebegini akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di sekitar ibu kota, jika diadakan di Dataran Merdeka.

Ini secara tidak langsung akan menyusahkan rakyat di persekitaran dan menjejaskan sumber pendapatan golongan tertentu di kawasan yang terlibat, termasuk industri pelancongan.

Oleh yang demikian, Pemuda Gerakan Kedah mencadangkan agar pihak penganjur perhimpunan Bersih 3 mengubah tempat perhimpunan tersebut ke dalam sebuah “Stadium”.

Saya berharap penganjur Bersih 3 akan menimbang cadangan untuk adakan perhimpunan tersebut di dalam Stadium SEKIRANYA objektif mereka hanya untuk berhimpun secara aman untuk menyuarakan isu yang diperjuangkan mereka.