07 October, 2010

GUBAL UNDANG-UNDANG UNTUK HUKUM PARTI POLITIK BUAT JANJI KOSONG

Saya merujuk kepada kenaikan tariff air di Kedah antara 27% hingga 44% baru-baru ini oleh kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah.

Kejadian ini jelas menunjukkan bahawa terdapat gabungan parti-parti politik tertentu yang berhak untuk membuat janji-janji manis kepada rakyat dan tidak perlu menunaikannya. Keadaan ini semakin menjadi-jadi sejak pilihanraya umum pada tahun 2008.

Pada December, 2009 lalu, Pakatan Rakyat telah berjanji di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat (para. H) bahawa:-
(a) penyediaan dan penyenggaraan prasarana awam yang baik merupakan tanggungjawab kerajaan;

(b) perlaksanaannya mestilah tidak membebankan rakyat; dan

(c) menjamin bekalan air bersih dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga di Malaysia.

Pemuda Gerakan Kedah berasa kesal bahawa kerajaan Pakatan Rakyat telah gagal untuk menunaikan janji-janji mereka yang termaktub di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat. Kenaikan tariff air antara 27% hingga 44% sememangnya membebankan rakyat Kedah, terutamanya golongan yang miskin.

Malangnya, undang-undang sedia ada tidak dapat menghukum ataupun menghentikan gejala politik kotor yang memperdaya rakyat. Janji-janji manis oleh parti-parti politik tersebut bukannya suatu perjanjian ataupun kontrak dari segi undang-undang dengan rakyat. Ia juga bukannya suatu jenayah di bawah undang-undang jenayah negara kita.

Pada masa ini, rakyat hanya boleh hukum parti sedemikian pada pilihanraya umum masa hadapan. Tetapi, buat masa ini, rakyat akan terus sengsara akibat keengganan parti politik sedemikian untuk tunaikan janji-janji mereka. Gejala politik kotor ini harus dihentikan.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan kepada kerajaan agar:-

1. menubuhkan suatu jawatankuasa untuk mengkaji isu ini; dan

2. menggubal undang-undang yang sesuai bagi menghalang dan menghukum mana-mana parti politik ataupun gabungan parti politik yang mengeluarkan janji-janji kosong.

Saya berharap kerajaan akan mengkaji cadangan ini dan mengambil tindakan selanjutnya bagi menjaga kepentingan rakyat daripada terus diperdaya oleh mana-mana parti politik yang tidak bertanggungjawab.