05 October, 2010

PEMUDA GERAKAN KEDAH TIDAK AKAN TUNDUK KEPADA UGUTAN MB PAS KEDAH


Saya merujuk kepada tuduhan dan alasan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa kenaikan tariff air di Kedah adalah berpunca daripada Barisan Nasional.

Seterusnya, beliau juga memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional agar tidak membuat apa-apa lagi kenyataan berhubung kenaikan tarif air di negeri Kedah. Sekiranya tidak, beliau akan membongkar secara terperinci pinjaman-pinjaman yang diambil oleh kerajaan negeri Kedah dahulu di bawah Barisan Nasional.

Beliau juga menyatakan bahawa kenaikan tarif air tersebut (antara 27% hingga 44%) tidak akan membebankan rakyat Kedah.
[ Sumber: The Star - www.thestar.com.my – 5th Oktober, 2010]

Kenyataan beliau bahawa kenaikan tarif air tersebut (antara 27% hingga 44%) tidak membebankan rakyat jelas menunjukkan bahawa kerajaan PAS negeri Kedah tidak berprihatin terhadap rakyat Kedah yang miskin.

Keputusan untuk menaikkan tarif air Kedah terletak di tangan kerajaan negeri PAS Kedah dan bukannya kerajaan pusat yang dipimpin oleh Barisan Nasional.

Sebaliknya, kerajaan PAS negeri Kedah hanya berminat untuk memastikan keuntungan besar dicapai oleh SADA (Syarikat Air Darulaman) sebanyak RM16 juta yang disasar bagi tahun depan atas beban rakyat Kedah yang miskin. (http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsbusiness.php?id=530673).

Tindakan Menteri Besar Kedah untuk mengugut pemimpin-pemimpin Barisan Nasional agar tidak membuat apa-apa lagi kenyataan berhubung kenaikan tarif air Kedah adalah tidak bertanggungjawab. Ini merupakan suatu lagi cubaan PAS untuk menutup kelemahan pentadbiran negeri Kedah di bawah PAS dan Pakatan Rakyat.

Pemuda Gerakan Kedah tetap akan mempertahankan kepentingan rakyat Kedah dan tidak akan tunduk kepada ugutan Menteri Besar Kedah.