12 October, 2010

KUOTA BUMI KINI NAIK 70% UNTUK PERUMAHAN KEDAH, PR KEDAH JUGA KINI PERKENAL SYARAT BARU PERUMAHAN YANG LANGGAR PERLEMBAHAAN PERSEKUTUAN

Pemuda Gerakan Kedah berasa kesal bahawa kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah telah gagal untuk menunaikan janjinya pada December, 2009 untuk membatalkan kenaikan kuota bumiputra perumahan dari 30% kepada 50% (bagi pembangunan tanah yang melibatkan Tanah Simpanan Melayu yang telah ditukar ganti dengan tanah di luar simpanan Melayu). Isu ini banyak melibatkan Bandaraya Alor Star di mana lebih daripada 90% adalah di dalam Tanah Simpanan Melayu.

Sebaliknya, sejak Julai, 2010 kerajaan Pakatan Rakyat Kedah bukan sahaja engkar menunaikan janjinya, malah mereka telah memburukkan keadaan dengan:-

1. menaikkan kuota bumiputra perumahan tersebut ke 70%;
2. menaikkan kuota bumiputra bagi pembangunan kedai/ pejabat ke 50%; dan
3. meletakkan syarat untuk memasukkan lot di bawah kuota bumiputra tersebut ke dalam Tanah Simpanan Melayu.

• Sesalinan surat Pejabat Ketua Pengarah Tanah & Galian yang menunjukkan perkara ini disertakan bersama.

Di bawah Artikel 89 (2) Perlembagaan Persekutuan:-
Mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini bukan tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang yang sedia ada dan yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam boleh diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu:

Dengan syarat bahawa:-

(a) jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah yang sama dengan luas tanah itu di dalam Negeri itu yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam hendaklah diadakan bagi pemberian hakmilik umum; dan

(b) jumlah keluasan tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini tidak boleh pada bila-bila masa melebihi jumlah keluasan tanah di Negeri itu yang telah diadakan bagi pemberian hakmilik umum menurut perenggan(a).

Tindakan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah untuk memasukkan lot bumiputra tersebut ke dalam Tanah Simpanan Melayu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pemuda Gerakan Kedah membantah tindakan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan. Dengan ini, Pemuda Gerakan Kedah menuntut:-

1. kerajaan Pakatan Rakyat Kedah menghormati Perlembagaan Persekutuan dan membatalkan polisinya untuk memasukkan lot bumiputra ke dalam Tanah Simpanan Melayu; dan

2. menunaikan janji Pakatan Rakyat Kedah untuk membatalkan apa-apa kenaikan kuota bumiputra bagi projek perumahan dan pembangunan komersial di Kedah.