28 October, 2010

TINDAKAN MAHKAMAH AKAN DIAMBIL SEKIRANYA KERAJAAN PR KEDAH WARTAKAN LOT BUMIPUTRA PERUMAHAN SEBAGAI TANAH REZAB MELAYU

Saya berasa kesal bahawa kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah tidak ikhlas dan tidak berminat dalam menyelesaikan isu kuota perumahan yang dibangkitkan baru-baru ini.

Dalam hal ini, Menteri Besar Kedah juga gagal untuk memberi apa-apa kenyataan berhubung tindakan kerajaan negeri Kedah meletakkan syarat untuk memasukkan lot di bawah kuota bumiputra perumahan ke dalam Tanah Simpanan Melayu.

Di bawah Artikel 89 (2) Perlembagaan Persekutuan:-

Mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini bukan tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang yang sedia ada dan yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam boleh diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu:

Dengan syarat bahawa:-

(a) jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah yang sama dengan luas tanah itu di dalam Negeri itu yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam hendaklah diadakan bagi pemberian hakmilik umum; dan

(b) jumlah keluasan tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini tidak boleh pada bila-bila masa melebihi jumlah keluasan tanah di Negeri itu yang telah diadakan bagi pemberian hakmilik umum menurut perenggan(a).

Nota: Lot Bumiputra tersebut adalah tanah di luar tanah simpanan Melayu.

Tindakan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah untuk memasukkan lot bumiputra tersebut ke dalam Tanah Simpanan Melayu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pemuda Gerakan Kedah membantah tindakan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah masih berdegil dan mewartakan Lot Bumiputra tersebut sebagai Tanah Simpanan Melayu, maka saya akan terpaksa mengambil tindakan mahkamah untuk menyelesaikan masalah ini.