Saya merujuk kepada kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa kerajaan Selangor akan memberi sokongan kepada ADUN Sri Muda Suhaimi Shafiei dan membiayai kos guaman kesnya bagi tuduhan di bawah Akta Hasutan berhubung suatu catatan di dalam blognya.
Di dalam kenyataan tersebut, kerajaan Selangor juga percaya bahawa Adun Sri Muda tersebut tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan institusi Raja-raja Melayu.
[ Sumber: Bernama 4 Februari, 2011 ]
Walaupun Adun Sri Muda tersebut merupakan ahli PKR, ini tidak memberi hak kepada mana-mana negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat untuk menggunakan duit RAKYAT untuk membiayai kos guaman bagi apa-apa kes peribadi ahli Pakatan Rakyat.
Kos guaman tidak harus ditanggung oleh RAKYAT dalam negeri-negeri Pakatan Rakyat berdasarkan kepentingan politik Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi ia melibatkan suatu kes yang didakwa berdasarkan tindakan peribadi seseorang, dan bukannya kes yang didakwa melibatkan tindakan rasmi kerajaan negeri.
Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat juga tidak harus mengambil tindakan untuk mengambil alih fungsi badan kehakiman negara dalam apa-apa kes atau mengeluarkan kenyataan yang bertujuan memberi kesan terhadap kes mahkamah (“subjudis”). Ini terutamanya bagi kes-kes yang melibatan ahli-ahli Pakatan Rakyat, di mana Pakatan Rakyat mempunyai kepentingan politik tertentu.
Ini bakal menjadi suatu amalan buruk (“Bad Precedent”) bagi negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, termasuk Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.
Sekiranya Pakatan Rakyat ingin membantu Adun Sri Muda, saya cadangkan agar Pakatan Rakyat membiayai kos guamannya dengan duit dan sumber Pakatan Rakyat. Jangan libatkan duit RAKYAT.
Saya berharap kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat akan menarik balik hasrat mereka untuk menggunakan duit RAKYAT Selangor untuk membiayai kes guaman Adun Sri Muda supaya tidak mempengaruhi negeri-negeri Pakatan Rakyat lain dengan amalan buruk tersebut (“Bad Precedent”).