16 February, 2011

PAKATAN HARUS JAMIN DEMOKRASI & HAK BERSUARA DI SEMUA NEGERI PR

Saya merujuk kepada kenyataan semalam Ketua Menteri Pulau Pinang YB Lim Guan Eng bahawa kerajaan Pulau Pinang bercadang mengambil tindakan menyaman fitnah Ahli Dewan Undangan Negari Pulau Bentong YB Muhamad Farid Saad.

Ini adalah berikutan laporan di dalam media yang meyiarkan kenyataan & kritikan Adun Pulau Bentong tersebut terhadap kerajaan Pulau Pinang Pakatan Rakyat.

Saya setuju bahawa dari segi undang-undang, kerajaan Pulau Pinang termasuk negeri-negeri lain di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat mempunyai hak untuk menyaman fitnah mana-mana RAKYAT, termasuk pihak pembangkang negeri.

Tetapi tindakan sedemikian adalah tidak wajar jika dilihat dari segi prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara.

Pada pilihanraya 2008, Pakatan Rakyat telah berjanji akan menegakkan demokrasi dan hak RAKYAT untuk bersuara. Ini juga telah dimaktubkan di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dilancarkan mereka pada akhir tahun 2009.

Di dalam sebuah pentadbiran yang menghormati demokrasi dan hak RAKYAT (termasuk pembangkang) untuk bersuara, kerajaan tersebut tidak harus mengambil tindakan keras untuk menghukum pengkritik pentadbiran tersebut. Ini akan mengugat apa-apa hasrat RAKYAT, termasuk pihak pembangkang, untuk bersuara dan mengkritik kelemahan sesebuah kerajaan (sekiranya ada).

Pada tahun lepas, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah juga telah mengambil tindakan menyekat kebebasan media semasa sidang Dewan Undangan Negeri Kedah. Ini berikutan kritikan dan kenyataan pelbagai pihak terhadap tindakan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah semasa banjir yang melanda negeri tersebut.

Sekiranya Pakatan Rakyat masih berhasrat menunaikan janjinya untuk menegakkan demokrasi dan kebebasan RAKYAT, termasuk pembangkangnya untuk bersuara, Pakatan Rakyat harus meneliti dan mengkaji semula tindakan-tindakan pentadbiran kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Saya menyeru supaya kepimpinan Pakatan Rakyat, terutamanya pemimpin umumnya Dato Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan drastik dan sewajarnya untuk mempertahankan demokrasi dan hak RAKYAT untuk bersuara, termasuk pihak pembangkang di semua negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Ini termasuk merombak kepimpinan negeri-negeri Pakatan Rakyat sekiranya perlu untuk kepentingan RAKYAT dan mempertahankan DEMOKRASI.