06 December, 2010

ADAKAN DEMOSTRASI DI STADIUM AGAR TIDAK JEJAS KESELAMATAN AWAM


Saya merujuk kepada perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong di Kuala Lumpur kelmarin berhubung isu air di Selangor.

Perhimpunan haram tersebut telah diadakan dekat Masjid Negara dan Istana Negara. Menurut laporan media, terdapat ramai pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang menganggotai perhimpunan haram tersebut.

Pada masa tersebut, saya sedang menghadiri Konvesyen Barisan Nasional dan mendapati keadaan huru-hara di Kuala Lumpur.

Saya berasa amat sedih melihat tindakan orang-orang tersebut yang sanggup menggadaikan keharmonian negara bagi agenda peribadi tertentu. Sebelum ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat tersebut tidak pernah membantah tindakan kerajaan Kedah dalam menaikkan tarif air setinggi 100%.

Perhimpunan haram tersebut mendatangkan risiko tinggi kepada keselamatan rakyat dan harta benda awam. Kesesakan lalu lintas akibat perhimpunan awam tersebut secara tidak langsung menjejaskan perniagaan rakyat Malaysia di perkarangan kawasan tersebut.

Perhimpunan tersebut bukan sahaja suatu tindakan yang tidak menghormati Yang Di-Pertuan Agong dan masjid orang Islam, ia juga tidak menghiraukan nasib rakyat lain yang berada di perkarangan kawasan tersebut.

Sekiranya pihak tersebut ingin menghantar Memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong, ia boleh dilakukan melalui suatu delegasi aman seperti 10 orang.

Sekiranya pihak tersebut ingin mengadakan perhimpunan awam, maka perhimpunan awam sebegini harus diadakan di dalam suatu stadium ataupun dewan agar tidak menjejaskan nasib rakyat lain.

Saya berasa kerajaan persekutuan dan negeri Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat boleh mengambil peranan dalam membantu pihak-pihak yang ingin mengadakan perhimpunan awam sebegini di stadium ataupun dewan milik kerajaan.

Pemimpin-pemimpin politik, tidak kira Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional harus juga mengambil peranan memastikan keharmonian negara dan keselamatan rakyat Malaysia.

Sebaliknya, sekira pihak-pihak tertentu masih berdegil dan meletakkan kepentingan politik peribadi di atas keselamatan awam, maka saya menyeru agar Kementerian Keselamatan Dalam Negeri tidak perlu bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab sedemikian.