12 December, 2010

“NOTIS KEPADA PAS & PAKATAN RAKYAT” - TINDAKAN MAHKAMAH AKAN DIAMBIL SEKIRANYA LAKSANA HUDUD DI KEDAH

“NOTIS KEPADA PAS & PAKATAN RAKYAT”
TINDAKAN MAHKAMAH AKAN DIAMBIL SEKIRANYA LAKSANA HUDUD DI KEDAH


Saya merujuk kepada kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dilaporkan di media baru-baru ini bahawa PAS akan cuba memperkenalkan undang-undang Hudud secara berperingkat dahulu di Kedah dan Kelantan bagi membolehkan rakyat Malaysia menilai merit prinsip Islam dan undang-undang hudud.

[ Sumber: The Malaysian Insider 1 December, 2010 & 11 December, 2010 ]

PAS harus sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan adalah tertakluk kepada Kanun Keseksaan yang sedia ada. Malaysia yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama yang telah kian lama menolak perlaksanaan hukum hudud. Antara hukum hudud adalah hukuman potong tangan bagi pencuri dan rejam bagi penzina.

Pengenalan hukum hudud adalah sememangnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. PAS harus menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan yang sediaada. Sekiranya PAS berpendapat terdapat apa-apa kelemahan di dalam mana-mana peruntukan Kanun Keseksaan, maka PAS harus dengan ikhlas memberi cadangan untuk menambahbaik kelemahan tersebut secara tepat dan spesifik. Cadangan PAS untuk menukar seluruh sistem perundangan negara dengan hukum hudud adalah terlalu ekstrem.

PAS harus sedar bahawa hukum hudud bukan impian semua rakyat Malaysia, yang berbilang kaum dan agama.

Kenyataan Presiden PAS bahawa PAS akan cuba memperkenalkan undang-undang hudud di Kedah adalah seolah-olah menjadikan Kedah sebagai suatu medan “eksperimen politik” PAS.

Saya juga kecewa dengan keputusan Pakatan Rakyat untuk berdiam diri dalam isu ini di sidang Konvesyen Pakatan Rakyat di hujung minggu ini. Adakah Pakatan Rakyat akan korbankan nasib rakyat Kedah bagi memenuhi impian pemimpin politik tertentu menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia?

Justeru, saya dengan ini memberi notis kepada PAS dan Pakatan Rakyat bahawa saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak tertentu sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat tetap memperkenalkan hukum hudud di negeri Kedah.

Saya berharap PAS dan Pakatan Rakyat akan menimbang dengan teliti apa-apa tindakan lanjut mereka pada masa hadapan dan jangan bebankan mana-mana rakyat Malaysia, yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.