19 December, 2010

LAKSANAKAN PILIHANRAYA KERAJAAN TEMPATAN & KEMBALIKAN KEBEBASAN MEDIA DI NEGERI PAKATAN SEKIRANYA IKHLAS DALAM PERJUANG ISU


Saya merujuk kepada cadangan Pakatan Rakyat untuk melancarkan kempen mengumpul satu juta tandatangan untuk Akta Pemulihan Demokrasi yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Kempen tersebut akan diadakan pada 1 Januari sehingga akhir Februari 2011.

Pakatan Rakyat mendakwa kempen tersebut adalah bagi menyelamatkan negara. Pakatan Rakyat turut menegaskan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan BN untuk menggubal akta tersebut, berdasarkan kepada enam isu penting iaitu:-

1. Menghapuskan semua deklarasi darurat.

2. Memansuhkan semua undang-undang anti-demokratik.

3. Menghormati perjanjian untuk membentuk Malaysia bersama-sama dengan Sabah dan Sarawak.

4. Menjamin integriti pilihanraya umum.

5. Mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.

6. Mewujudkan kebebasan akhbar.

Sekiranya Pakatan Rakyat ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan kesemua 6 isu-isu di atas, maka Pakatan Rakyat harus dengan serta merta:-

1. mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan di semua negeri-negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor; dan

2. mengembalikan kebebasan media di semua negeri-negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat, terutamanya di negeri Kedah di mana kebebasan media telah disekat semasa sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan lalu.

Kedua-dua perkara di atas adalah di bawah bidang kuasa Pakatan Rakyat dan tiada sebab munasabah kenapa Pakatan Rakyat masih enggan melaksanakan perkara-perkara tersebut.

Kedua-dua perkara tersebut juga merupakan janji Pakatan Rakyat semasa pilihanraya umum lepas. Sebagai sebuah parti politik yang bertanggungjawab, janji-janji pilihanraya harus ditunaikan tanpa apa-apa syarat lagi kepada rakyat Malaysia.

Oleh itu, saya berharap Pakatan Rakyat akan melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan dan mengembalikan kebebasan media di semua negeri-negeri Pakatan Rakyat sebelum akhir Januari, 2011.

Selepas 31 Januari, 2011, rakyat Malaysia akan ketahui samada Pakatan Rakyat ikhlas dalam kesemua 6 isu-isu yang didakwa diperjuangkan mereka atau hanya suatu sandiwara politik.