27 December, 2010

KERAJAAN PR KEDAH HARUS TUNAI JANJI REBET 30% BIL AIR SECARA AUTOMATIK


Saya merujuk kepada pengumuman Menteri Besar Kedah Dato Seri Azizan Abd Razak semasa sidang Dewan Undangan Negeri Kedah bahawa mangsa banjir Kedah akan diberi rebet 30% bagi bil air semasa banjir (November) bagi pengguna domestik sahaja dan akan ditunjukkan di dalam bil air bulan Disember.

Sumber: www.wartakedah.net

Sebaliknya, dari maklum balas yang diterima saya:-

1. Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah mengenakan syarat bahawa rebet 30% tersebut untuk mangsa banjir hanya boleh dituntut di kaunter SADA dengan mengemukakan salinan laporan polis, penghulu, MKK, JKKP atau JKM.

2. Diskaun tersebut akan diberi bagi tarif 1 bil bulan Disember, 2010 (bukannya November).
Sesalinan Bil air Disember disertakan untuk rujukan.

(A) Diskaun Secara Automatik

Seperti yang telah diketahui kerajaan Pakatan Rakyat, kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir adalah di daerah Kota Setar, Padang Terap, Kubang Pasu dan Pokok Sena.
Adalah tidak wajar bagi SADA mengenakan syarat untuk kemukakan laporan-laporan polis, penghulu, MKK, JKKP atau JKM. Bukan semua mangsa banjir yang telah menfailkan laporan sedemikian. Syarat sedemikian hanya akan menyusahkan rakyat Kedah memperolehi rebet yang telah dijanjikan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.
SADA harus memberi rebet tersebut secara automatik kepada semua pengguna air di kawasan banjir tanpa meletakkan apa-apa syarat yang menyusahkan rakyat Kedah.

(B) Rebet 30% Berdasarkan Amaun Bil Air Bulan November (bukan Disember)

Dalam hal ini juga, rebet tersebut telah dijanji akan diberi berdasarkan bil air bulan November di mana penggunaan air adalah tinggi selepas banjir. Saya berharap kerajaan Pakatan Rakyat Kedah akan menunaikan janji dan memberi rebet air tersebut berdasarkan amaun di dalam bil air bulan November.
Saya berharap kerajaan Pakatan Rakyat Kedah akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbetulkan keadaan agar rakyat Kedah tidak dibebankan lagi setelah kenaikan tarif air yang mendadak sehingga 100% baru-baru ini.