02 December, 2010

PAKATAN KEDAH HARUS BATALKAN TINDAKAN TIDAK BERETIKA MENGAMBIL BALIK HADIAH DIBERI KEPADA THAILAND

Saya merujuk kepada laporan di Warta Kedah bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Kedah akan meminta bantuan kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri untuk mengambil balik bunga emas dan bunga perak yang pernah diberikan kepada kerajaan Thailand oleh kerajaan Kedah suatu ketika dahulu.

Sebanyak 28 pokok bunga emas telah dihantar kepada pemerintah Thailand di Bangkok sebagai tanda persahabatan dan hubungan mesra dua negara berjiran, kata Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah YB Dr Hamdan Mohamed Khalib.

[ Sumber: www.wartakedah.net 2 Disember, 2010 ]

Pemuda Gerakan Kedah berasa kesal dengan langkah kerajaan Pakatan Rakyat Kedah untuk mengambil balik bunga emas dan bunga perak tersebut.

Bunga emas dan bunga perak tersebut merupakan suatu hadiah kerajaan negeri Kedah kepada kerajaan Thailand pada zaman dahulu.

Ia adalah suatu tindakan yang tidak beretika untuk mengambil balik apa-apa benda yang telah dihadiahkan kepada orang lain.

Etika baik selepas pemberian hadiah harus dihormati oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

Maruah kerajaan negeri dan rakyat Kedah (termasuk Malaysia) akan tergadai sekiranya Pakatan Rakyat Kedah masih berdegil untuk mengambil balik bunga emas dan bunga perak yang dihadiahkan kepada kerajaan Thailand.

Oleh itu, saya berharap Pakatan Rakyat Kedah akan dengan serta merta membatalkan hasratnya untuk mengambil balik bunga emas dan bunga perak tersebut.

Pakatan Rakyat harus mengambil kira maruah kerajaan negeri dan rakyat Kedah (termasuk Malaysia) dalam membuat apa-apa keputusan pada masa hadapan.