14 November, 2010

Bajet Kedah 2011 Tidak Memberi Bantuan Setimpal Kepada Mangsa Banjir




Saya merujuk kepada pembentangan Bajet 2011 di sidang Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2011 tersebut oleh Menteri Besar Kedah, hanya RM1 juta ditambah kepada peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah (JKM), untuk pelbagai bantuan termasuk bantuan bencana alam. Ini merupakan hanya 0.1% daripada kesuluruhan Bajet 2011 yang berjumlah RM887 juta.
Nota: Jumlah peruntukan kepada JKM bagi 2011 adalah RM14.5 juta selepas penambahan RM1 juta tersebut.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah hanya mengumumkan bantuan RM2 juta bagi membantu mangsa-mengsa banjir.

Pemuda Gerakan Kedah amat kecewa dengan keengganan kerajaan negeri Kedah untuk memberi bantuan yang setimpal kepada mangsa-mangsa banjir negeri.

Penambahan RM1 juta peruntukan kepada JKM dan bantuan RM2 juta sedia ada langsung tidak mencukupi untuk membantu mangsa-mangsa banjir negeri Kedah.

Seperti yang kerajaan negeri Kedah sedia maklum, mangsa-mangsa banjir adalah termasuk petani-petani Kedah yang mengalami kerugian teruk. JKM tidak berfungsi membantu sektor pertanian. Oleh itu, penyaluran tambahan peruntukan RM1 juta kepada JKM tidak akan membantu golongan petani-petani

Cadangan Pemuda Gerakan Kedah pada 8 November, 2010 agar kerajaan negeri memberi pengecualian cukai pintu dan tanah 1 tahun merupakan langkah terbaik untuk memastikan semua mangsa-mangsa banjir termasuk golongan petani menerima bantuan setimpal. Semua mangsa banjir akan menerima bantuan tanpa diskriminasi terhadap fahaman politik mereka. Sesalinan Memoradum cadangan tersebut telah diserah kepada Menteri Besar Kedah. (juga dimuat turun di tankengliang.blogspot.com)

Dalam keadaan di mana rakyat ditimpa malapetaka, adalah tidak adil bagi kerajaan negeri Kedah untuk terus mengutip cukai daripada mangsa banjir, terutamanya daripada golongan petani dan rakyat miskin. Kerajaan Kedah perlu berprihatin terhadap mangsa-mangsa banjir.
Kerajaan Kedah tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan Persekutuan untuk memberi segala bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Saya mendesak agar pemimpin-pemimpin pusat Pakatan Rakyat tidak lagi berdiam diri dan memastikan kerajaan negeri Kedah memberi bantuan setimpal kepada mangsa-mangsa banjir.