16 November, 2010

PAKATAN RAKYAT KEDAH SEKALI LAGI AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENGKRITIK


Saya merujuk kepada kenyataan YB Dato’ Phahrolrazi Zawawi, EXCO Perumahan Kedah di dalam sidang DUN Kedah hari ini bahawa proses tukar ganti Tanah Simpanan Melayu (“swapping”) bagi perumahan akan dihentikan kecuali bagi kes-kes yang terkecuali sahaja. Beliau juga mempersoalkan kenapa pihak pemaju perumahan pergi jumpa Ketua Pemuda Gerakan Kedah dalam hal kenaikkan kuota bumiputra perumahan kepada 70%.

Saya amat kecewa dengan keputusan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang dilihat sebagai suatu tindak balas tegas (“retaliation”) terhadap pembongkaran isu kenaikan kuota bumiputra projek perumahan sehingga 70% (bagi projek perumahan yang melibatkan “swapping” tersebut). Pada 18 Oktober, 2010, saya telah mengemukakan bukti-bukti bahawa terdapat kuota perumahan yang dinaikkan sehingga 70% selepas dinafikan oleh Menteri Besar Kedah (rujuk tankengliang.blogspot.com dan www.wartakedah.net).

Tindakan ini adalah secara tidak langsung suatu hukuman keras ke atas pemaju-pemaju perumahan di Alor Setar dan sekaligus membantutkan pembangunan perumahan di Alor Setar di mana lebih daripada 95% tanahnya berada di dalam Tanah Simpanan Melayu. Tanpa proses “swapping” tersebut, orang-orang bukan Bumiputra akan menghadapi masalah memberi rumah dan ini akan menaikkan permintaan dan harga rumah-rumah di Alor Star. Rakyat yang miskin juga tidak akan mampu membeli rumah di Alor Star pada masa hadapan.

Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah seharusnya menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh rakyat dan bukannya bersikap agresif menentang para pengkritik.

Sebelum ini, saya telah mencadangkan kepada Pakatan Rakyat sekiranya kuota Bumiputra ditetapkan pada 50%, mana-mana lot rumah yang tidak dapat dijual selepas 6 bulan (dari tarikh pelancaran jualan) akan dibuka kepada orang ramai (“Release Mechanism”). Ini akan mambantu rakyat Malaysia Bumiputra membeli rumah dan juga menyelesaikan masalah pembaziran sumber sekiranya kuota perumahan tersebut tidak dapat dijual. Namun begitu, cadangan ini tidak dihiraukan oleh Pakatan Rakyat di Kedah.

Kejadian baru-baru ini di mana kebebasan media disekat semasa sidang DUN Kedah juga menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tidak dapat menerima kritikan daripada pihak-pihak tertentu. Penyekatan kebebasan media oleh Pakatan Rakyat di Kedah juga bakal menjejaskan kedudukan negara di dalam “World Press Freedom Index”.

Memandangkan Pakatan Rakyat Kedah enggan menyelesaikan masalah rakyat Kedah, saya menyeru agar pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (terutamanya Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang) supaya memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat Kedah. Saya berharap Pakatan Rakyat tidak terus mengabaikan nasib rakyat Kedah.