Saya merujuk kepada laporan polis yang telah difailkan hari ini oleh wartawan RTM Kedah, Samad Majid terhadap ugutan-ugutan yang terkandung di dalam laman web penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.
Samad Majid merupakan wartawan yang dimarahi Menteri Besar Kedah semasa sidang media selepas mesyuarat EXCO Kedah pada 10 November, 2010.
Saya berasa sedih melihat keadaan di Kedah di mana kebebasan media bukan hanya disekat baru-baru ini, malah mereka kini mendakwa berhadapan dengan ancaman dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pihak media tersebut hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.
Saya berharap pihak media di Kedah akan tabah dalam mengharungi situasi sedemikian di negeri Kedah.
Sehubungan itu, Pemuda Gerakan Kedah mengecam tindakan mana-mana pihak yang mengugut para wartawan di negeri Kedah. Tindakan yang tidak bertamadun tersebut bukan budaya and amalan rakyat Malaysia.
Kelmarin, saya telah mendesak pemimpin Pakatan Rakyat, terutamanya Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang untuk memberi penjelasan kenapa terdapat pihak media yang dilarang meliputi sidang DUN Kedah (termasuk perbentangan belanjawan) mulai Ahad ini. Ini adalah bertentangan dengan janji Pakatan Rakyat untuk memberi kebebasan kepada media Malaysia. Malangnya, semua pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat terus berdiam diri.
Saya mendesak agar pemimpin-pemimpin pusat Pakatan Rakyat tidak boleh lagi berdiam diri dari isu kerajaan negeri Kedah yang kini semakin serius. Kebebasan media di negeri Kedah kini semakin terjejas.
Dalam hal ini, Pakatan Rakyat harus menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli atau penyokong mereka yang didapati mengugut pihak media di negeri Kedah.
Pakatan Rakyat juga perlu menjamin dan mengekalkan kebebasan media di negeri Kedah.
Saya berharap pemimpin-pemimpin pusat Pakatan Rakyat tidak akan berdiam diri dan mengabaikan kepentingan rakyat negeri Kedah.