22 November, 2010

JANGAN LAMBATKAN PROSES DEMOKRASI DI NEGERI PAKATAN RAKYAT

Saya merujuk kepada laporan media bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata Pakatan Rakyat Pulau Pinang mungkin tidak akan membubarkan dewan undangan negeri sekiranya Suruhanjaya Pilihanraya memanggil Pilihanraya Umum negara pada tahun hadapan.

Beliau turut dilaporkan berkata keputusan pilihanraya negeri akan dibuat di suatu konvensyen Pakatan Rakyat pada masa hadapan dan bukannya diputuskan oleh Barisan Nasional.

[ Sumber: Malaysiakini 22 November, 2010 ]

Pakatan Rakyat harus sedar bahawa adalah suatu tradisi sejak Merdeka di mana pilihanraya umum negara diadakan serentak dengan pilihanraya negeri-negeri Semenanjung Malaysia.

Sekiranya pilihanraya negeri diasingkan dari pilihanraya umum negara, maka kos pilihanraya bakal meningkat tinggi dan menghabiskan sumber negara. Peningkatan kos-kos sedemikian akan ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Pakatan Rakyat tidak seharusnya kerap membangkang terhadap apa-apa yang mungkin dicadangkan Barisan Nasional sehingga bertindak tidak rasional dan membebankan rakyat. Sebagai kerajaan negeri, Pakatan Rakyat harus mengambil kira kepentingan rakyat dalam membuat apa-apa keputusan.

Rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat harus diberi peluang untuk mengundi di peringkat negeri sejajar dengan pilihanraya umum negara.

Pakatan Rakyat tidak wajar melambatkan proses pilihanraya negeri bagi memanjangkan tempoh pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri masing-masing.

Sekiranya Pakatan Rakyat telah berjaya mentadbir negeri masing-masing dengan cekap dan telus, maka tiada sebab untuk Pakatan Rakyat melambatkan proses demokrasi di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Tetapi sekiranya Pakatan Rakyat tidak mentadbir negeri masing-masing dengan sewajarnya, maka rakyat harus diberi hak untuk bersuara dan mengundi menolak kerajaan negeri Pakatan Rakyat sedemikian.

Proses demokrasi negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak harus dilambatkan untuk menutup apa-apa kelemahan Pakatan Rakyat.


Saya berharap negeri-negeri Pakatan Rakyat, termasuk Kedah tidak akan terlalu mementingkan kepentingan politik diri untuk terus berkuasa di negeri masing-masing.