04 November, 2010

TUNDAKAN PEPERIKSAAN SPM DI NEGERI-NEGERI BANJIR SEMINGGU SELEPAS BANJIR BERAKHIR


Saya merujuk kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diadakan mulai 23 November, 2010.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Kementerian Pelajaran bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah jika kejadian banjir berlarutan sehingga musim peperiksaan SPM.

Beliau turut berkata, kementerian sudah mengenal pasti kawasan yang berisiko dilanda banjir, dan sekiranya ia berlaku, calon-calon peperiksaan berkenaan akan dipindahkan ke sekolah berhampiran.

Pada hari ini, keadaan banjir di negeri Kedah, Perlis dan Kelantan telah bertambah buruk dan adalah antara banjir yang terburuk yang pernah melanda negeri Kedah dan Perlis.

Menurut laporan berita semalam, lebih daripada 31,000 di negeri Kedah telah dipindahkan akibat banjir. Kebanyakan sekolah yang berada di kawasan banjir di negeri Kedah, Kelantan dan Perlis turut ditutup. Lebih teruk, kebanyakan tempat di kawasan banjir tidak mempunyai bekalan air bersih dan elektrik, malah bekalan makanan juga kurang.

Keadaan ini sememangnya akan menjejaskan persiapan pelajar-pelajar negeri Kedah, Kelantan dan Perlis yang bakal menghadapi peperiksaan SPM lebih kurang 2 minggu dari hari ini.

Atas kesulitan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang dilanda banjir di negeri Kedah, Perlis dan Kelantan, saya memohon prihatin Kementerian Pelajaran agar menunda tarikh peperiksaan SPM bagi kawasan-kawasan negeri Kedah, Perlis dan Kelantan yang masih dilanda banjir seminggu sebelum tarikh peperiksaan SPM.

Kementerian Pelajaran harus bersikap terbuka dan bersedia mengambil apa-apa tindakan yang adil mengikut keadaan semasa. Kesulitan rakyat akibat bencana alam harus diambil kira dalam apa-apa keputusan.

Ketika banjir, tumpuan rakyat Malaysia, termasuk pelajar-pelajar SPM adalah berpindah rumah dan memastikan keselamatan diri, termasuk keluarga mereka tidak terabai.

Oleh itu, sekiranya Kementerian Pelajaran bertegas untuk mengadakan peperiksaan SPM ketika banjir, maka penilaian prestasi pelajar-pelajar yang dilanda banjir adalah tidak adil dan tidak tepat.