08 November, 2010
MEMORANDUM KEPADA MB KEDAH UNTUK KECUALIKAN CUKAI PINTU & CUKAI TANAH BAGI TEMPOH SATU TAHUN UNTUK BANTU MANGSA BANJIR KEDAH
Tarikh: 8hb November, 2010
YAB Dato Seri Azizan Bin Abdul Razak,
Menter Besar Negeri Kedah
Wisma Darulaman,
Alor Star, Kedah
YAB Dato Seri,
MEMORANDUM
Pengecualian Cukai Pintu & Cukai Tanah Bagi Satu Tahun
Untuk Membantu Mangsa Banjir Kedah
Dengan segala hormatnya, saya merujuk kepada perkara di atas.
Sejak satu minggu yang lepas, negeri Kedah telah ditimpa salah satu banjir yang terburuk dalam sejarah kita. Ramai rakyat Kedah telah mengalami kesusahan dan kerugian yang besar akibat banjir besar tersebut.
Di samping penghuni-penghuni rumah yang ditengalami air, mangsa banjir juga merangkumi pemilik-pemilik ladang pertanian dan sawah padi yang rosak. Sektor pertanian merupakan salah satu sektor ekonomi penting di negeri Kedah.
Berikutan dengan usaha kerajaan pusat, kami menyeru agar kerajaan negeri Kedah juga mengambil langkah setimpal untuk membantu semua mangsa banjir Kedah mengharungi banjir besar tersebut.
Oleh itu, Pemuda Gerakan Kedah memohon agar kerajaan negeri Kedah akan memberi pengecualian pembayaran cukai pintu dan cukai tanah bagi tempoh satu (1) tahun di kawasan-kawasan banjir.
Usaha ini secara tidak langsung akan membantu pemulihan sektor pertanian Kedah, meringankan beban pemilik rumah yang rosak dan membantu perniagaan yang menanggung rugi besar akibat banjir besar tersebut.
Saya berharap YAB dapat mengumumkan pengecualian pembayaran cukai pintu dan cukai tanah tersebut dalam sesi pembentangan bajet Kedah minggu depan.
Kerjasama dan pertimbangan daripada kerajaan negeri Kedah amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih.