23 November, 2010

PERLUASKAN KEAHLIAN MAJLIS TERTINGGI BN KEPADA PEMUDA & WANITA

Baru-baru ini, rakyat Malaysia telah melihat pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan di dalam Barisan Nasional termasuk “keahlian terus” ke dalam Barisan Nasional dan Konvensyen Barisan Nasional yang akan diadakan hujung minggu ini.

“Keahlian terus” tersebut akan mendekatkan lagi Barisan Nasional kepada rakyat.

Konvensyen Barisan Nasional tersebut juga merupakan suatu sidang tahunan yang menemukan semua wakil komponen-komponen Barisan Nasional dari semua negeri-negeri dan bakal memberi ruang kepada wakil-wakil komponen BN membincang cara-cara BN membangunkan negara dan mempertahankan kepentingan semua rakyat.

Ini jelas menunjukkan keikhlasan Barisan Nasional dalam transformasinya sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan semua rakyat.

Sejak penubuhan Barisan Nasional, yang diterajui oleh Tun Abdul Razak Hussein pada 1973, keahlian di dalam Majlis Tertinggi Barisan Nasional adalah terdiri daripada tiga (3) wakil dari parti-parti komponennya.

Pada masa ini, representasi golongan Pemuda dan Wanita hanya diberikan kepada Ketua Pemuda dan Wanita Nasional Barisan Nasional, yang secara tradisi adalah Ketua Pemuda dan Wanita Nasional UMNO.

Dalam hal ini, saya berharap kepimpinan tertinggi Barisan Nasional akan mengkaji semula keahlian di Majlis Tertinggi Barisan Nasional agar perwakilannya akan diperluaskan.

Justeru, saya mencadangkan agar keahlian Majlis Tertinggi Barisan Nasional akan diberikan kepada semua Ketua Pemuda dan Wanita Nasional parti-parti komponen Barisan Nasional.

Cadangan ini dibuat agar pandangan semua Ketua Pemuda dan Wanita parti-parti komponen Barisan Nasional akan dapat didengar dan dikaji oleh Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

Ini akan menjadikan Majlis Tertinggi Barisan Nasional sebagai suatu badan tertinggi Barisan Nasional yang dinamik dan terdiri daripada pemimpin-pemimpin Malaysia, tanpa mengira umur dan jantina.

Ia juga bakal memberikan lebih banyak representasi kepada pemimpin pemuda dan wanita dari komponen-komponen Barisan Nasional negeri Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, saya berharap Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi Barisan Nasional akan dapat mengkaji cadangan ini.